Tuesday, February 9, 2010

APA ERTINYA ANDA SEORANG MUSLIM OLEH SAYYID ABU A’LA AL-MAUDUDI

salam wbt..
alhamdulillah, bersyukur aku kepada Allah swt kerana dapat lagi diberikan kesempatan untuk mengupdate blog ni..bukanlh kerana kesuntukan masa menyebabkan blog ini tergendala. tapi dek kerana ketiadaan internet menyukarkan aku untuk terus menulis. tapi inshAllah, selepas ini aku akan terus sedaya upaya untuk mengekalkannya.. ^^

Kadang-kadang aku selalu terfikir, apakah Islam yang aku anuti ini adalah warisan daripada ibubapaku? Jika aku dilahirkan dalam kalangan keluarga yang bukan Islam, adakah aku masih lagi seorang Muslim ketika ini? Alhamdulillah, aku bersyukur kepada Allah atas nikmat Islam dan iman yang diberikanNya kepada aku, seorang hamba yang hina ini.

“Aku Muslim.”

“Agamaku adalah Islam.”

Seperti apa yang ditulis dalam buku ini, perkataan ‘ISLAM’ dan ‘MUSLIM’ memang seringkali kita dengar masyarakat menuturkannya. Dan oleh kerana ianya seringkali dituturkan oleh masyarakat, maka terbentuklah satu pengertian yang singkat di fikiran setiap orang. Tidak ramai yang benar-benar memahami dengan mendalam dan sungguh-sungguh akan pengertian kalimah-kalimah yang sering mereka ucapkan ini. Tanyalah kepada mana-mana pemuda dan pemudi yang menggelarkan diri mereka seorang Muslim di negara kita tentang maksud ‘ISLAM’ dan ‘MUSLIM’ ini. Pasti mereka tidak mengetahui apakah Muslim dan apakah Islam yang sebenarnya.

Apa yang aku katakan ini, bukanlah aku tujukan kepada orang-orang di luar sana sahaja, bahkan aku sendiri pada hakikatnya kurang memahami kalimah-kalimah tersebut. Oleh itu, inshaAllah aku ingin berkongsi dengan kalian semua tentang apa yang telah aku faham setelah membaca buku ini. Diharapkan kita sama-sama dapat memperbaiki diri kita dan saling memperingatkan orang lain akan pengertian sebenar ‘ISLAM’ dan ‘MUSLIM’ ini.

Secara zahirnya, kita boleh lihat masyarakat dunia saat ini boleh dikelompokkan dalam tiga golongan. Aspek pembahagian adalah dari segi i’tikad dan amalan mereka.

Golongan pertama, orang yang hanya bergantung kepada akal fikiran semata-mata. Golongan ini hanya berpegang kepada pendapat mereka dalam setiap perkara dan yakin kepada apa yang telah akal mereka putuskan. Apa yang aku faham mengenai golongan ini, sebelum mereka membuat sesuatu perkara, mereka akan menggunakan akal mereka untuk menganalisa baik buruknya perkara tersebut. Seterusnya, mereka akan bertindak mengikut apa yang difikirkan oleh mereka betul. Untuk golongan ini, mereka tiada apa-apa hubungan langsung dengan mana-mana agama dan tidak mengikutinya.

Pada pendapat aku, bagus untuk seseorang itu berfikiran kritis dan mempersoalkan akan baik buruknya sesuatu perkara sebelum bertindak. Bahkan, ianya amatlah digalakkan oleh Islam sendiri. Tetapi ada sesetengah perkara yang tidak mampu dicapai oleh akal manusia. Orang yang hanya menggunakan akal semata-mata, mereka ini akan tenggelam dalam kebebasan sehingga mereka tidak mengetahui sempadan yang sebenarnya. Mereka akan merasakan ilmu dan akal mereka telah meliputi saemua perkara di dunia ini. Mereka juga menyangka bahawa mereka telah mengetahui tanda-tanda di setiap jalan, mengetahui setiap kesudahan sesuatu perkara sepertimana mereka mengetahui permulaannya. Sesungguhnya, orang yang memilih akalnya sebagai pemandu dan hanya menuruti jalan yang ditunjukkan oleh akal semata-mata tidak akan terselamat dari kegelinciran, perlanggaran, kebinasaan dan kesesatan.

Golongan ini wajar dilabelkan sebagai merbahaya bagi sesuatu masyarakat atau negara. Pernah aku terdengar satu cerita. Mengenai seorang perompak yang dicederakan oleh mangsanya sehingga luka berdarah. Tetapi yang menyedihkan aku, si mangsa tadi yang masuk penjara akibat menyebabkan parut pada muka si perompak tadi. Wahai rakan-rakanku, dimanakah keadilan? Akibat orang-orang yang berfikiran menggunakan akal inilah yang menyebabkan si mangsa yang mungkin mengambil langkah untuk mempertahankan dirinya dihukum.

Adapun golongan yang hanya menggunakan akal ini, mereka hanyalah umpama dalam kegelapan yang nyata. Mereka tidak memilih orang yang membawa cahaya(rasul dan nabi serta orang beriman) sebagai pemandu dalam kegelapan tersebut. Bahkan di tangan-tangan mereka juga tidak mempunyai cahaya yang sebenar untuk menyuluh jalan hidup mereka yang serba gelap itu. Bayangkanlah, dalam kegelapan, pasti kita tidak nampak apa-apa di hadapan kita. Ada kemungkinan kita akan terjatuh ke dalam gaung yang dalam dan ada kemungkinan kita akan tetap di dalam jalan yang benar, tetapi lebih dekat kepada kesalahan. Maka, keperluan kepada cahaya adalah perkara yang paling utama agar kita boleh membezakan yang mana membawa ke arah kebaikan dan sebaliknya.

Jom kita lihat mengenai apa yang Allah katakan mengenai golongan ini. Boleh rujuk al-quran surah Yunus_10: 66, An-Najm_53: 23-24, An-Najm_53: 28, Al-Jaatsiyah_45: 23, dan Al-Qashash_28: 50.

Golongan kedua, terdiri daripada orang yang zahirnya berpegang pada suatu agama tertentu, tetapi pada hakikatnya mereka hanya mematuhi pendapat dan fikiran mereka sendiri sahaja. Mereka tidak mengikut pandangan agama yang mereka anuti. Bahkan lagi teruk, ada di antara mereka yang mengambil sebahagian daripada pegangan agama mereka mengikut kehendak hawa nafsu, kecenderungan dan keperluan diri dan hidup mereka. Mereka cuba menyesuaikan agama mengikut rekaan mereka. Orang-orang seperti ini lebih teruk daripada golongan pertama tadi. Jika golongan yang pertama tadi hanya sesat sahaja, golongan ini pendusta, penipu serta lebih tepat dilabelkan sebagai munafik. Jika mereka hanya bergantung kepada akal mereka sahaja, mengapa mereka masih lagi ingin berpegang kepada sesuatu agama, yang membataskan kebebasan mereka untuk berfikir? Sungguh, mereka ini adalah pembohong besar.

Contoh yang paling senang adalah mengenai riba. Islam sejak dahulu lagi telah mengharamkan riba dan menjanjikan azab neraka kepada orang-orang yang terlibat dalam urusan riba ini. Realiti masyarakat sekarang, berapa ramai masyarakat yang menggelarkan diri mereka sebagai MUSLIM, tetapi masih lagi akur kepada sistem riba ini? Tambah menyedihkan, ada dia antara mereka yang mempersoalkan mengapa Islam mengharamkan riba. Bagi mereka, tanpa riba, adalah mustahil bagi sesuatu masyarakat dan negara itu mampu mencapai kemajuan. Sekiranya akal seseorang itu dipandu oleh ajaran Al-Quran dan sunnah nabi, pasti orang tersebut dapat nampak akan keburukan sistem riba tersebut dan seterusnya mampu memikirkan jalan alternatif kepada penyelesaiannya.

Contoh dalam Al-Quran yang boleh kita jadikan pengajaran adalah mengenai bani Israel yang yang mendakwa menjadi pengikut Nabi Musa a.s. dan berpegang pada ajaran kitab Taurat, tetapi pegangan dan amalan mereka banyak yang bertentangan dengan ajaran Nabi Musa dan kitab Taurat. Bahkan lebih teruk, mereka tidak segan-segan dengan penyelewengan yang mereka lakukan itu. Apa yang pasti, mereka menyembunyikan ajaran kitab Taurat yang asal dan menggunakan akal fikiran mereka menggantikannya, seolah-olah itulah pengajaran yang diturunkan oleh Allah untuk mereka. Orang-orang yang cuba membawa mereka kembali kepada jalan yang benar, yang berlawanan dengan hawa nafsu mereka, disambut dengan cacian dan celaan sehinggakan ada diantaranya yang dibunuh. Dalam Al-Quran ada disebutkan dalam surah Al-Maaidah_5:13, Al-Maaidah_5:70, Ali-Imran_3:71, dan Al-Maaidah_5:68.

Golongan ketiga pula terdiri daripada orang yang tidak menggunakan akal mereka, yakni walaupun mereka mempunyai akal tetapi penggunaannya sama seperti orang yang tidak berakal. Akibatnya, mereka inilah golongan yang merangkak-rangkak di belakang manusia dengan mengikutinya secara membuta tuli. Tidak aku sangka, masih ada lagi golongan seperti ini dalam kalangan masyarakat yang serba moden dan ‘maju’ ini. Aku masih lagi ingat akan apa yang orang selalu cakap, akal adalah sesuatu yang dapat membezakan antara manusia dan haiwan. Tetapi, jika wujud golongan ini, yang tidak menggunakan akal mereka, adakah mereka boleh diumpamakan sebagai haiwan atau lebih teruk dari haiwan?

Dalam hal ini, aku hanya terbayangkan mengenai satu perkara, iaitu adat. Teringat akan pepatah yang mengatakan, “Biar mati anak, jangan mati adat.” Jika di negara kita, orang Melayulah yang paling kuat dalam mempertahankan adatnya. Tanpa mereka sedari, mereka sendiri telah meletakkan diri mereka dalam kelompok golongan yang ketiga ini. Kebanyakan masyarakat kita masih lagi mengamalkan adat turun temurun dan ajaran karut lagi marut daripada datuk nenek moyang tanpa sebarang dalil akan kebenaran perkara tersebut. Lebih teruk, golongan ini akan cuba menyerapkan budaya-budaya negara maju, yang ketika itu dipandang tinggi oleh masyarakat dunia, tanpa berfikir akan baik buruknya kerana mereka percaya bahawa mereka juga mampu maju dengan mengikuti budaya tersebut.

Bayangkanlah, jika adanya orang-orang seperti ini, bagaimanakah kebenaran akan tertegak? Andainya orang-orang bodoh yang dahulu dan sekarang melakukan sesuatu, kita tidak seharusnya mengikuti orang-orang itu dengan membuta-tuli. Tidak sepatutunya kita menuruti setiap jejak orang lama atau moden tanpa dikaji dan difikirkan dahulu. Tanyakan pada diri kita, mahukah kita menumpang kereta orang lain yang kita sendiri tidak tahu ke mana arah tujunya? Ada kemungkinan kita akan dibawa ke jalan yang penuh berduri dan ada kemungkinan kita akan dibawa ke jalan kesesatan. Maka dengan itu, sebelum kita mengikuti seseorang itu, hendaklah kita melihat terlebih dahulu, ‘mahu kemanakah orang ini?’ Dalam Al-Quran ada menyebut mengenai golongan ketiga ini. Cuba kita lihat surah Al-Baqarah_2:170, Al-Maaidah_5:104, dan Al-An’am_6:116.

hm, macam da terlampau panjang la pula..inshAllah nanti aku sambung lagi..doakan agar aku terus istiqamah di jalan ini..amin

salam dari Bath