Tuesday, March 24, 2009

Adab tuan rumah terhadap tetamu(berkaitan makanan)!!!

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, bersyukur pada Allah swt kerana diberikan lagi kelapangan untuk meneruskan apa yang telah terhenti sejak sekian lamanya. Insyaallah, hari ini saya ingin bersama-sama untuk berkongsikan sedikit sebanyak mengenai adab-adab nelayan tetamu. Hal ini kerana, sepangjang minggu ini saya telah menerima beberapa kunjungan rakan-rakan dari London, Warwick dan Bristol. Alhamdulillah, saya dapat melaksanakan tugas sebagai tuan rumah dengan jayanya dengan melihatkan reaksi rakan-rakan yang gembira dapat berkunjung ke Bath dan bertemu saya. =)

Antara perkara yang paling penting dalam melayan tetamu adalah dari segi makanan. Hal ini kerana menjamu makanan kepada tetamu adalah lebih baik dan mempunyai banyak kelebihan. Diriwayatkan bahawa Saidina Ali r.a pernah berkata, " Jika aku dapat mengumpulkan rakan-rakanku dengan satu sha' makanan(tidak diketahui maksud sebenar sha', mungkin satu bahagian), lebih utama bagiku daripada memerdekakan seorang hamba sahaya." Berkata Ibnul Umar r.a," Antara tanda kemuliaan seseorang ialah makanannya ketika dalam pelayaran dan tidak lokek memberikannya kepada rakan-rakannya." Tambahan pula, dalam kisah sejarah sirah nabi dahulu kala, para sahabat yang sering berkumpul untuk majlis bacaan Al-quran tidak akan berpisah melainkan sesudah menjamah sedikit jamuan, walaupun ringan. Wahai rakan-rakan sekalian, maka ketahuilah bahawa pentingnya melayan tetamu yang datang ke rumah/bilik kita dengan sebaik-baiknya. =)

Namun kepada tetamu sekalian, ketahuilah bahawa anda semua juga mempunyai adab-adab yang sebaiknya diikuti.

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam rumah nabi, kecuali jika kamu telah diizinkan untuk makan,tanpa menunggu masaknya makanan, tetapi apabila kamu diundang, hendaklah kamu masuk, dan apabila selesai makan, hendaklah kamu keluar tanpa beramah-tamah dengan percakapan(bual kosong)."
~Al-ahzab(33):53~

Sedikit keterangan mengenai ayat ini, pada zaman dahulu, para sahabat selalu datang ke rumah nabi tanpa diundang untuk bercakap-cakap, kadang-kadang sehingga waktu makan, lalu mereka makan bersama-sama dengan Nabi s.a.w. Sebenarnya, yang demikian itu tidak disenangi oleh nabi, lalu maka turunlah ayat ini.

Apa yang boleh kita rumuskan dari ayat ini, janganlah kita sebagai tetamu datang ke rumah rakan-rakan untuk berbual kosong, sehinggalah menunggu hingga masaknya makanan. Perkara seperti ini seringkali berlaku di Malaysia pada pendapat saya. Rakan-rakan bertandang ke rumah tanpa diundang ketika tibanya waktu makan tengahari, makan malam dan sebagainya. Maka tuan rumah yang tidak menjangkakan kedatangan rakannya, terpaksa masak makanan tambahan kerana khuatir tidak mencukupi. =)

Kepada tuan rumah pula, janganlah memaksa diri untuk menyediakan makanan yang terlalu sukar sehinggakan memudaratkan diri. Contohnya, sekiranya bahan mentah yang ada hanyalah telur, tidak perlulah tuan rumah memaksa diri untuk membeli ikan, ayam atau udang semata-mata untuk menjamu tetamu. Namun sekiranya perkara tersebut tidak memudaratkan, maka adalah digalakkan. Setengah orang berkata: Kami pergi kerumah Jabir r.a lalu dihidangkan kami roti dan cuka (acaran). Berkata Jabir: Kalaulah tidak karena aku dilarang dari memberatkan diri dalam jamuan, tentulah aku akan hidangkan bermacam-macam makanan kepada kamu. =)

Dirasakan bahawa telah terlalu panjang post kali ini. Lagipun saya minggu ini amat sibuk dengan persiapan percutian sempena cuti Easter ini. Diharapkan segala perancangan yang telah dirancang dapat berjalan dengan sempurna. Insyaallah. Maka, sekian dulu buat kali ini. Insyaallah ketemu lagi di lain hari. Salam.

Sunday, March 1, 2009

Percubaan pertama....


Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a., beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
" Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang diniatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu."
Hadis ini diriwayat oleh dua orang Imam Al-Hadis: Abu Abdullah Muhammad ibn Ismail ibn Ibrahim ibn al-Mughirah ibn Barzirbah al-Bukhari dan Abu al-Husain Muslim ibn al-Hajjaj ibn Muslim al-Qusyairie al-Naisaburi dalam kitab sahih mereka berdua yang merupakan antara kitab yang paling sahih.
Assalamualaikum wbt...
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah swt kerana dengan limpah kurniaNya, dapatlah saya diberikan kekuatan untuk cuba mula menceburi bidang penulisan. Seperti yang semua maklum, saya ini bukanlah insan yang sememangnya konsisten dalam apa yang saya buat. Tapi insyaallah, dengan izinNya, saya akan cuba untuk meneruskan dengan istiqamahnya apa yang akan saya mulakan ini. Insyaallah..
Saya mulakan post saya yang pertama ini dengan hadis pertama daripada kumpulan 40hadis yang sememangnya diketahui umum. Setiap amalan itu bergantung kepada niatnya. Ulama ada berkata:
"Boleh jadi suatu amalan kecil menjadi besar kerana niat, dan suatu amalan yang besar menjadi kecil kerana niat. Sesuatu amalan dibalas berdasarkan niat pelakunya."
Maka, saya niatkan agar penulisan ini adalah kerana Allah, untuk saya memperjuang menegakkan agama Islam. Insyaallah. Disamping itu, saya juga berharap agar penulisan ini dapat memberi peringatan kepada yang terlupa serta dapat juga mengingatkan diri saya sendiri agar tidak alpa dengan kelalaian dunia. Insyaallah.
Akhir kata, saya berdoa agar usaha saya ini dapat diberikan kekuatan oleh Allah swt untuk berterusan dan bukanlah hanya untuk 'hangat-hangat tahi ayam' sahaja. Insyaallah. Sekian dahulu daripada penduduk Bath yang keseorangan pada zahirnya. Wallahu'alam...