Tuesday, August 3, 2010

3/08/2010

salam wbt..
Apa khabar wahai anakku yang disayangi? Moga engkau dalam lindungan rahmatNya.

Anakku, tidak banyak yang ingin aku kongsikan bersamamu untuk kali ini. Mungkin kerana hati terlalu malas untuk menceritakan segala perasaannya. Atau mungkin juga tiada peristiwa yang bermakna untuk ayah hari ini. Namun ayah sedar bahawasanya ayah perlu menunaikan tanggungjawab untuk selalu memperingatkan engkau wahai anakku.

Buat kesekian kalinya, ayah hari ini terfikir kembali akan kenangang sewaktu cuti musim panas di Malaysia tahun lepas. Kenangan yang ayah kecapi ketika itu terlalu indah dan manis untuk dilupakan. Teringat ayah ketika itu bagaimana ayah seringkali membantu nenekmu dalam urusan sehariannya. Ayah ketika itu selalu menghantar nenek dan datukmu ke pejabat mereka. Sudah menjadi kebiasaan untuk ayh menghantar dan mengambil mereka ke pejabat setiap kali ayah cuti di rumah. Namun ayah tidak pernah merungut akan pekerjaan itu. Bahkan, pekerjaan itulah yang membuatkan ayah sentiasa gembira, membuatkan ayah senang hati meringankan beban datuk dan nenekmu itu. Subhanallah, rindunya ayah akan saat itu....

Ketika bulan Ramadhan, ayah masih ingat lagi ketika itu ayah selalu berlumba-lumba dengan bapa saudaramu, adik lelaki ayah. Kami sering ke masjid untuk solat berjemaah sepanjang bulan Ramadhan. Ada suatu ketika, untuk solat terawikh, kami terpaksa berjalan kaki ke masjid kerana tiada kenderaan ketika itu. Motor dipakai oleh datuk dan ibu saudaramu untuk mereka ke masjid bertarawikh bersama-sama. Sungguh indah kenangan itu. Rindunya ayah akan mereka semua...

Anakku, jika diberikan rezeki oleh Allah swt, mahu sahaja ayah pulang menyambut Ramadhan bersama-sama datuk dan nenek. Mahu sahaja ayah pulang ke Malaysia walau hanya untuk seketika. Tapi apakan daya, keadaan tidak mengizinkan. Masih banyak tanggungjawab yang perlu ayah selesaikan di sini. Masih banyak pengalaman yang perlu ayah timba di sini. Masih banyak yang perlu ayah perbaiki akan diri ini sebelum pulang ke Malaysia. Sungguh, hanya Allah jua yang mengetahui akan keinginan yang mendalam untuk hati ini bersama-sama mama dan abah. Sungguh, Allah jua yang berkuasa atas segala-galanya. InshaAllah segala yang berlaku pasti akan ada hikmahnya. Amin...

Anakku, setelah engkau meningkat dewasa nanti, ajarkanlah juga kepada anak-anakmu apa yang ayah ajarkan kepadamu ini. Sayangilah kepada kedua ibubapamu selagi mereka masih hidup. Belailah mereka dengan kasih sayang sama seperti ketika mereka membelai engkau ketika engkau masih kecil lagi. Hormatilah mereka dan taatilah mereka seadanya. Mudah-mudahan hidupmu akan diberkati Allah swt. InshaAllah...

sekian dahulu untuk kali ini wahai anakku. Jagalah dirimu baik-baik. Jangan tinggal amalan sunat harianmu itu. Teruskan istiqamah dalam segala ibadatmu. Kejarkan kehidupan akhirat, nescaya kehidupan di dunia juga akan engkau perolehi dengan seadanya. Amin...

salam sayang dari ayah,
-bapamu @birm 2350-

No comments: