Wednesday, July 28, 2010

Nasihat Luqman untuk anaknya dan juga untuk anakku

Salam wbt..

Apa khabar wahai anakku? Semoga iman kalian dalam keadaan yang teguh. Apa khabar juga pembelajaranmu? Jangalah engkau tinggalkan pembelajaranmu itu walau seketika. Tanpa ilmu, dirimu ibarat tin kosong yang tiada gunanya. Ketahuilah anakku, walau sesibuk mana sekalipun urusan harianmu, janganlah engkau tinggalkan segala ibadat sunatmu kerana hanya itulah yang dapat menampung amalan harianmu. Ayah sentiasa mendoakan agar kalian mendapat keberkatan dari Allah swt.

InshaAllah hari ini ayah ingin berkongsi dengan anak-anak kesayangan ayah ini berkaitan nasihat Luqman Al-hakim kepada anaknya. Jika al-quran dekat sentiasa di hatimu, pasti engkau sedar akan surah Luqman sebagai surah yang ke 31 dalam quran ini. InshaAllah hari ini ayah akan berkongsi 3 nasihat Luqman sahaja. Jika hendak ikutkan hati ini, mahu sahaja ayah tuliskan kesemuanya untukmu wahai anakku. Tapi, ayah ingin pastikan agar kalian ambil iktibar dan amalkan segala nasihat ini. InshaAllah hidup kalian pasti akan di bawah lindunganNya. Amin.

Dalam surah Luqman dari ayat 13 sehingga 15, ada 3 peringatan yang Luqman beritahukan kepada anaknya.

1. Jangan mempersekutukan Allah swt

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
Dan ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika dia memberi pelajaran kepadanya,"Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar."[31:13]

Wahai anakku, perhatikanlah dengan teliti akan ucapan Luqman itu. Pertamanya, Luqman melarang anaknya daripada mempersekutukan Allah swt. Kemudian Luqman menegaskan akan larangannya akan dosa besar mempersekutukan Allah swt. Anakku, dosa mempersekutukan Allah adalah dosa yang paling besar. Oleh itu, janganlah sesekali engkau mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain.

لَا تَجْعَلْ مَعَ اللَّهِ إِلَهًا آخَرَ فَتَقْعُدَ مَذْمُومًا مَخْذُولًا
Dan janganlah engkau mengadakan tuhan yang lain di samping Allah, nanti engkau menjadi tercela dan terhina.[17:22]

2. Berbuat baik kepada kedua ibubapa

Dalam ayat yang berikutnya, Luqman juga ada mengingatkan kepada anaknya akan keperluan untuk berbuat baik kepada ibubapa terutama ibunya. Anakku, bayangkan akan pengorbanan besar yang telah dilakukan oleh ayah dan ibu untuk melahirkan, membesarkan, dan memelihara akan dirimu sehingga engkau menjadi seperti apa yang sekarang ini.

وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ
Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusuinya dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu. [31:14]

Ayat tersebut menceritakan dengan terperinci akan jasa pengorbanan ibu terhadap dirimu. Ibumu yang telah mengandungkanmu selama 9bulan di dalam perutnya. Bayangkanlah, ibumu terpaksa membawa beban yang berat di perutnya selama 9 bulan. Bayangkanlah bagaimana ketika engkau mengambil makanan dari plasenta ibumu. Bayangkanlah keperitan yang terpaksa ditanggung oleh ibumu ketika melahirkanmu? Sedarkah bahawa ibumu bertarung nyawa saat engkau merengek untuk melihat dunia ini? Semua pengorbanan ibumu itu pasti tidak dapat engkau balas. Oleh itu, taatilah perintah ibumu dan berbuat baiklah padanya.

Juga disebutkan mengenai ibumu yang telah menyusukan engkau selama dua tahun. Dan menjadi tanggungjawab ayah untuk memberikan nafkah dan pakaina kalian dengan cara yang berpatutan.

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Dan ibu-ibu hendaklah menyusui anak-anaknya selama dua tahun penuh, bagi yang ingin menyusui dengan sempurna. Dan kewajipan ayah menanggung nafkah dan pakaian mereka dengan cara yang patut. [2:233]

Ayah akui bahawa ayah tidak banyak berkorban untukmu wahai anakku. Apa yang dapat ayah lakukan hanyalah mendidikmu dan memberikan engkau kasih sayang, pelajaran dan segala keperluan untuk engkau hidup di dunia ini dan sebagai bekalan untuk kehidupanmu di akhirat kelak.

Allah swt ada menyediakan panduan bagaimana seorang anak untuk mentaati kedua orang tuanya dalam surah A-l-Isra' ayat 23-24.

وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا(23)وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُلْ رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, "Wahai Tuhanku! Sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecil." [17:23-24]

3. Jika ibubapa memaksa mempersekutukan Allah, jangan taati mereka tetapi layanlah mereka dengan baik.

وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ
Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu, maka janganlah engkau mentaati keduanya dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepadaKu. Kemudian hanya kepadaKu tempat kembalimu, maka akan Aku beritahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan. [31:15]

Anakku, mesej yang ingin disampaikan dalam ayat ini adalah bahawa hanya Allah sahajalah yang layak disembah. Cuba engkau renungkan, dalam ayat sebelumnya, Allah memerintahkan kita supaya mentaati kedua ibubapa kita, yakni orang yang paling banyak berjasa dan berkorban untuk kita. Allah ceritakn juga bagaimana besarnya pengorbanan mereka sehingga wajib kita taati sepnuhnya. Namun, dalam ayat 15 ini, Allah hendakkan manusia agar kembalikan ketaatan hanya kepada Allah swt sebagai Al-Khaliq yang telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Hanya Allah swt yang layak disembah.

Anakku, pernahkah engkau mendengarkan lagu 'My mother by Yusoff Islam'? Dalam lagu itu, diceritakan mengenai turutan siapa yang perlu ditaati dalam hidup seseorang dan juga pengorbanan seorang ibu. Allah, rasul, ibu, ibu, ibu dan kemudian baru ayah. Maka, hanya kepada Allah sahajalah kembalinya segala ketaatan.

Sebenarnya ayat 15 ini mempunyai kisahnya yang tersendiri. Dikatakan turunnya ayat ini adalah disebabkan perkara yang berlaku kepada salah seorang sahabat iaitu Sa'ad bin Malik. Beliau adalah seorang sahabat yang sentiasa memuliakan ibunya dan tidak pernah mendurhaka kepada ibunya terutama semasa zaman sebelum keislamannya. Selepas Sa'ad memeluk Islam, ibunya mula membenci akan perubahan yang berlaku pada Sa'ad.

"Wahai Sa'ad, aku tidak pernah melihat akan ajaran baru yang kamu bawa ini. Tinggalkan agamamu itu atau aku tidak akan makan dan minum sehingga aku mati. Kemudian masyarakat akan menyalahkan kamu atas apa yang terjadi padaku dan kamu akan menjadi punca akibat kematianku nanti."

"Janganlah engkau berkelakuan begitu, ibuku. Tidak akan aku tinggalkan Islam ini walau demi apa pun."


Ibu Sa'ad tetap berdegil dan sanggup menahan daripada makan dan minum selama sehari semalam sehingga kepenatan dan kelaparan. Namun, mogoknya terhadap keislaman anaknya itu tetap diteruskan sehingga tubuhnya tampak kurus kering dan dia tidak mampu utnuk bergerak sekalipun. Melihatkan keadaan itu, Sa'ad berkata pada ibunya,"Wahai ibuku, demi Allah, sekalipun engkau memiliki seratus jiwa dan ianya terpisah daripada badanmu satu persatu, aku tidak akan tinggalkan agamaku ini demi apa pun. Jika engkau hendak makan, makanlah. Jika engkau memilih untuk berlapar, berlaparlah." Kemudiannya, ibu Sa'ad pun mengalah dan makan.

Pengajaran daripada kisah Sa'ad ini, walaupun ibunya menentang akan pengislamannya dan mengugutnya agar meninggalkan agama Islam yang dianutinya itu, namun Sa'ad tetap memilih untuk memperjuangkan Islam dan memilih untuk tidak taat pada ibunya. Anakku, Sa'ad ini sebelum keislamannya adalah salah seorang yang sememangnya terkenal dalam memuliakan ibunya. Namun apabila telah mendapat hidayah daripada Allah swt dan mendapata tentangan daripada ibunya yang paling disayangi, Sa'ad tetap menjadikan Allah sebagai Illahnya yang satu.

Namun lihatlah akanmu sikap Sa'ad pada ibunya. Sa'ad tidak pernah membenci ibunya walaupun ibunya menentang akan pengislamannya. Bahkan, Sa'ad sentiasa beruasaha memujuk ibunya memeluk Islam dan sentiasa berdoa agar Allah swt memberikan hidayah kepada ibunya juga. Tidak pernah Sa'ad memaki hamun akan ibunya bahkan membuka keaiban ibunya sendiri. Begitulah sepatutnya berlaku pada dirimu wahai anakku. Jika ayah dan ibu ada menyuruhmu membuat sesuatu kemungkaran, jangalah engkau taati kami. Bahkan hendaklah engkau menasihati kami dan membimbing kami agar sentiasa berada di jalan yang lurus.



Anakku, banyak yang telah ayah ceritakan padamu kali ini. Mudah-mudahan engkau dapat mengambil pengajaran daripada apa yang telah ayah ceritakan ini. InshaAllah jika diizinkan oleh Allah swt, ayah akan menyambung lagi akan nasihat Luqman ini dalam post yang berikutnya. Doakan agar ayah diberikan kesempatan masa dan tenaga untuk terus memberi peringatan kepadamu. Sekian dahulu untuk kali ini.

Salam sayang daripada ayahmu,
-bapamu @2210 birmingham-

No comments: