Monday, July 26, 2010

26 Julai 2010

salam wbt..

Apa khabar anakku sekalian? Harap kalian berada dalam keadaan sehat sejahtera hendaknya. Apa khabar pula iman kalian wahai anakku? Bulan Syaaban telah separuh berlalu. Banyakkah sudah amal yang engkau lakukan? Sesungguhnya, penuhilah masamu dengan sentiasa mengingati Allah swt sepanjang bulan Syaaban ini wahai anakku...

Alhamdulillah, ayah baru sahaja pulang daripada menyertai Advance Shari'ah Awareness Programme (ASAP) di Lampeter beberapa hari yang lalu. Saat ayah sedang menulis ini, ayah baru sahaja menunaikan solat maghrib dan isyak secara berjemaah dengan rakan ayah di rumah sahaja. Kami tertidur kepenatan semenjak sebelum maghrib sehingga pukul 11 malam. Mujur ayah tersedar dan segeralah kami emnunaikan tanggungjawab ibadah kami..

Memang diakui, selepas ASAP itu, penatnya satu badan ini memang terasa. Badan mula lenguh-lenguh. Hendak buat semua benda pun ianya terasa berat. Maafkan ayahmu ini wahai anakku atas kelemahan ayah. Doakan agar ayah sentiasa sehat dan kuat untuk terus berjuang dijalanNya ya. InshaAllah.

Ayah baru sahaja selesai mentadabbur sepotong ayat dari surah Ar-Rum ayat 41.
Telah nampak kerosakan di darat dan di laut kesan akibat perbuatan tangan-tangan manusia. Allah mengkehendaki agar mereka merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar).


Apakah perasaanmu wahai anakku berkaitan ayat ini? Sedarkah engkau bahawa kerosakan di muka bumi ini adalah kesan akibat perbuatan manusia itu sendiri? Lihatlah dunia sekarang bagaimana manusia dengan rakus mencabuli alam ini. Tidak perlu untuk kita melihat perkara yang jauh. Lihatlah akan diri kita sendiri. Sejauhmana dan apa yang telah kita lakukan untuk memelihara alam ini? Apakah kita sudah lupa akan tugas dan tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini? Tanyakan pada diri kita sendiri terlebih dahulu wahai anakku. Cukupkah usaha kita untuk memperjuangkan alam ini? Ayah sendiri akui belum mampu sepnuhnya untuk menunaikan tanggungjawab ini wahai anakku. Bantulah ayahmu ini. Peringatkanlah ayahmu yang seringkali terlupa ini. Marilah sama-sama kita melaksanakan tanggungjawab kita bersama moga keredhaan Allah dapat kita kecapi. InshaAllah.

Sekian dahulu dari ayahmu.

Salam sayang untuk anakku,
-bapamu @birm 12.25am-

No comments: