Thursday, July 22, 2010

Khamis, 22 Julai 2010

Salam wbt...

Ke hadapan anakku yang disayangi, apa khabar imanmu hari ini? Ayah harap kalian semua sehat sejahtera hendaknya. Bagaimana dengan pelajaranmu wahai anakku? Sesungguhnya, janganlah engkau abaikan pembelajaranmu itu kerana ilmu itu tersangatlah penting untuk kamu teruskan hidup di dunia yang penuh dengan cabaran ini. Carilah ilmu itu sebanyak yang engkau mampu dan gunakanlah ia untuk kebaikan dan mencapai redha Allah swt.

Hari ini genaplah sudah 10 Sha'aban 1431H. Anakku, adakah engkau berpuasa hari ini? Ketahuilah bahawa banyak rahmatnya untuk berpuasa pada bulan sha'aban ini. Ayah pun cuba berpuasa untuk hari ini, tapi malangnya ayah tidak mampu untuk bertahan sehingga waktu berbuka. Maafkan ayahmu yang lemah ini wahai anakku. Keadaan di UK ketika ini memerlukan ayah untuk bangun seawal pukul 2 pagi untuk bersahur dan waktu berbukanya pula adalah pada pukul 9.30 malam. Terlalu besar cabarannya untuk berpuasa di UK ketika ini wahai anakku. Beruntunglah sekiranya kalian berada di Malaysia ketika ini. Sangat mudah untuk kalian menunaikan puasa sunat di sana. Ayah sentiasa berharap agar Allah swt akan mempermudahkan segala urusan kalian untuk beribadah kepadaNya. InshaAllah.

Anakku, dalam sedar atau tidak, kita bakal menyambut Ramadhan, bulan yang paling mulia di dalam setiap tahun. Bersediakah kamu untuk menyambutnya wahai anakku? Berapa mukasuratkah helaian al-quran yang sedang kamu bacakan setiap hari? Cukupkah amalan solat sunatmu setiap hari? Dan yang paling penting, jangan lupa untuk bertaubat setiap hari atas dosa-dosa yang telah kamu lakukan dan murnikanlah jiwamu dari segala dosa wahai anakku.

Anakku, alangkah gembiranya ayah andai dapat bersamamu di sana. Ingin sekali diri ini beribadah bersama-samamu. Ayah terlalu mengimpikan untuk mengimamkan solat berjemaah bersamamu, mendengar dan memperbaiki bacaan quranmu, dan memberikan tazkirah untuk membasahkan jiwamu yang kekeringan itu. Rindu sekali saat itu untuk ayah bersamamu wahai anakku. Ayah doakan agar saat itu dapat kita kecapi bersama. Amin.

Anakku, ayah mungkin akan sibuk sedikit sepanjang hujung minggu ini. Ayah akan ke Lampeter untuk menghadiri kursus Advance Shari'ah Awareness Programme(ASAP). InshaAllah ayah ingin memantapkan ilmu untuk ayah ajarkan kepadamu wahai anakku. Walaupun ayah tidak dapat meninggalkan sebarang peringatan padamu sepanjang hujung minggu ini, janganlah engkau lalai daripada mengingatiNya. Pertingkatkan tilawah quranmu, perbaiki solatmu, dan perbanyakkan taubat kepadaNya. InshaAllah hidup kita akan sentiasa diberkatiNya. Amin.

khas untuk anakku yan tersayang,
-bapamu @1530, Birmingham

No comments: